SeDih keRana berJauhan deNgan keluaRga, itulah haRga sebuah peRjuangan hidup. SeDih keRana teRingatkan amaLan keRana masih di baWah kaki buKit, elokLah di tingkaTkan dalam masa kita masih teRsedaR ini. Sedih keRana maCam-maCam ujian yang menimpa diri, itulah haRga untuk Tiada Tuhan seLain ALLAH...

Wednesday, January 14, 2009

HALANGAN PUSAKA

Waris-waris yang berhak menerima pusaka sama ada dengan sebab perkahwinan atau dengan sebab keturunan ada kalanya terhalang daripada menerima pusaka pemilik harta dengan adanya halangan-halangan seperti membunuh, berlainan agama dan murtad.

Halangan dari menerima pusaka ada tiga:

Penghambaan: Hamba tidak boleh menerima pusaka daripada ahli keluarganya.

Pembunuhan: Apabila seseorang waris telah membunuh pewarisnya, maka dia tidak boleh menerima pusakanya. Seperti sabda Rasulullah s.a.w:


لَيْسَ لِلقَاتِلِ مِنْ تَرِكَةِ المَقْتُوْلِ شَيْءٌ
Maksudnya: Pembunuh tidak boleh menerima apa-apa pusaka daripada orang yang dibunuhnya.

Perbezaan agama: Ini adalah antara Islam dengan bukan Islam, oleh itu orang Islam tidak boleh mewariskan hartanya kepada orang bukan Islam dan orang bukan Islam tidak boleh mewariskan hartanya kepada orang Islam. Seperti sabda Rasulullah s.a.w:


لاَ يَرِثُ المُسْلِمُ الكَافِرَ وَلاَ الكَافِرُ المُسْلِمَ
Maksudnya: Orang Islam tidak mewarisi orang kafir dan orang kafir tidak mewarisi orang Islam.

Halangan-halangan ini menyebabkan waris-waris berkenaan tidak mewarisi pusaka dan tempatnya digantikan oleh orang lain seolah-olah mereka tidak wujud langsung. Maknanya mereka yang mempunyai halangan ini tidak boleh disenaraikan sebagai waris-waris yang berhak mewarisi pusaka dan mereka dianggap sebagai tidak ada.

JENIS-JENIS HALANGAN DALAM PUSAKA

i. Halangan Menyeluruh
ii. Halangan Mengurang

‘Halangan menyeluruh’ ialah halangan terhadap waris daripada menerima harta kerana ada waris lain yang berhak menerimanya, seperti datuk terhalang daripada menerima pusaka atas sebab ada bapa yang menerima pusaka bersama dengannya, atau saudara lelaki sebapa terhalang daripada menerima pusaka atas sebab ada saudara lelaki seibu sebapa bersamanya. Saudara lelaki seibu sebapa pula terhalang daripada menerima pusaka apabila ada anak lelaki si mati yang menerima pusaka bersama dengannya. Halangan ini dinamakan halangan menyeluruh.

Halangan mengurang pula ialah ‘perubahan bahagian pusaka’ daripada bahagian yang besar kepada bahagian yang lebih kecil. Ini berlaku atas sebab ada seseorang yang lain, seperti suami si mati yang berhak menerima separuh (1/2) daripada harta pusaka, terpaksa menerima satu perempat (1/4) sahaja daripada harta tersebut atas sebab ada anak si mati menerima pusaka bersamanya. Begitu juga isteri yang berhak menerima satu perempat (1/4) daripada harta pusaka akan hanya berhak menerima satu perlapan (1/8) sahaja daripada pusaka apabila ada anak si mati menerima pusaka bersamanya. Halangan ini dinamakan halangan mengurang.

Halangan mengurang ini hanya berlaku ke atas waris yang boleh menerima dua jenis bahagian pusaka, iaitu ‘bahagian pusaka yang besar’ atau ‘bahagian pusaka yang lebih kecil’. Mereka-mereka yang memiliki bahagian seperti ini ialah: Suami, isteri, cucu perempuan dari sebelah anak lelaki, saudara perempuan sebapa dan ibu.

0 dh bace komen la:

Post a Comment