SeDih keRana berJauhan deNgan keluaRga, itulah haRga sebuah peRjuangan hidup. SeDih keRana teRingatkan amaLan keRana masih di baWah kaki buKit, elokLah di tingkaTkan dalam masa kita masih teRsedaR ini. Sedih keRana maCam-maCam ujian yang menimpa diri, itulah haRga untuk Tiada Tuhan seLain ALLAH...

Monday, March 16, 2009

PANDUAN LENGKAP MEMBINA UMMAH

KELAHIRAN Rasulullah SAW membawa risalah berasaskan dasar yang utuh dan kehadirannya membawa rahmat untuk sekalian alam. Justeru, umat Islam perlu faham rahmat itu dengan mengkaji risalah Nabi Muhammad SAW serta mengamalkan dalam kehidupan seharian.

Mengingati Rasulullah SAW sekali setahun ketika 12 Rabiulawal (berdasarkan pendapat masyhur mengenai tarikh kelahiran Baginda SAW) atau 9 Rabiulawal (pendapat sahih) saja tidak memadai.

Pensyarah Jabatan al-Quran dan Hadis Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Fauzi Deraman, berkata risalah Nabi Muhammad SAW yang kekal hingga hari ini sebaliknya perlu menjadi panduan sepanjang masa.

Katanya, Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW sudah jelas dan ada asas lengkap kerana Baginda yang mempatenkan wahyu Allah supaya dapat difahami dengan mudah serta dipraktikkan umat Islam dalam hidup mereka.

“Allah kata dirikan solat tetapi tidak diberitahu bagaimana dan bila. Begitu juga dengan suruhan tunaikan haji. Semua itu tunjukkan Rasulullah SAW dan wajar ia menjadi panduan kekal,” katanya.

Beliau menyampaikan ceramah pada majlis sambutan Maulidur Rasul anjuran Jabatan Agama The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di surau NSTP, Balai Berita, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr Fauzi turut menggariskan tiga asas lengkap yang dianjurkan Islam dan dibawa Rasulullah SAW sebagai panduan untuk membangunkan masyarakat baru iaitu iman (akidah), ilmu yang betul dan harta.

Beliau berkata, iman adalah tonggak usaha pembangunan umat Islam kerana akidah boleh menjadi benteng menghadang perbuatan melampaui batas dan tanpanya apa juga dilakukan tidak menghasilkan keputusan diharapkan.

Justeru, katanya, pandangan Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai akidah perlu dijadikan teras supaya setiap tindakan yang diambil berpandukan ajaran yang benar bukan dibuat tanpa sebab atau matlamat.

“Al-Qaradawi berkata akidah dalam Islam mudah dengan syarat umat Islam faham. Akidah bermakna beriman dengan Allah dan caranya ialah memahami apa yang Allah ceritakan. Semua itu ada dalam wahyu diturunkan.

“Contohnya surah al-Ikhlas yang menceritakan keesaan Allah. Jika kita faham ayat itu, ia bukan sekadar percaya wujudnya Allah tetapi seruan mengabdikan diri kepada Allah dan hukum hakam syarak yang dibina atas tuntutan itu,” katanya.

Asas kedua dalam pembinaan umat Islam ialah ilmu yang diamalkan secara betul mengikut syariat dan ketiganya, harta yang dibelanjakan ke jalan diredai Allah.

Dr Fauzi berkata, ilmu yang dipelajari perlu menjurus seseorang itu kepada melakukan kebaikan dengan dia tahu apa dihalalkan serta diharamkan kerana ilmu yang ada tidak akan memberi manfaat jika disalah guna.

Begitu juga dengan harta kekayaan kerana Islam tidak menghalang umatnya mencari kekayaan dan tidak memusuhi kekayaan dengan syarat rezeki diperoleh dibelanjakan secara berhemat, tidak berlaku pembaziran.

“Kita perlu pandai urus kekayaan kerana kita akan ditanya dari mana kekayaan itu dan dibelanjakan untuk apa. Hakikatnya, risalah Islam dibawa Rasulullah SAW sudah jelas dan kita hanya perlu ikut panduan diberi,” katanya.

Oleh Hasliza Hassan
SUMBER:Berita Harian

0 dh bace komen la:

Post a Comment